Saturday, May 22, 2010

Teknik Penyoalan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran..

Teknik Penyoalan dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran..

Teknik soal jawab merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Di samping itu, ia dapat dijadikan teras kepada pembinaan konsep-konsep, kesanggupan memberi pernyataan dan melahirkan perasaan, penglibatan dan percaya diri sendiri di kalangan pelajar. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Kejayaan penggunaan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran bergantung kepada kebolehan guru untuk menguasai teknik menyoal.


Menyoal atau bersoal jawab sering menimbulkan masalah kepada pelajar-pelajar sama ada dalam kelas KBSR ataupun KBSM. Apabila pelajar ditanya sama ada mereka mempunyai soalan atau tidak, mereka akan berdiam diri atau memberitahu tidak mempunyai soalan. Adakah benar pelajar-pelajar tidak mempunyai soalan untuk ditanya tidaklah dapat dipastikan. Namun satu soalan yang boleh ditimbulkan di sini ialah adakah guru telah mengajar kemahiran menyoal kepada pelajar-pelajar di dalam kelas? Salah satu perkara yang penting ketika berkomunikasi ialah aktiviti bertanya dan menyoal. Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk kita mendapatkan sesuatu maklumat tetapi dapat membantu kita membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama.




Secara umumnya teknik menyoal merupakan teknik yang penting dalam aktiviti pengajaran guru kerana hampir kesemua proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan teknik penyoalan. Contohnya dalam gambarajah berikut:






Tujuan penggunaan Teknik Penyoalan
Soalan-soalan boleh digunakan untuk melihat keupayaan pelajar memahami sesuatu blok informasi, untuk mengalih perhatian pelajar daripada satu fakta kepada satu fakta yang lain, untuk menegaskan kepentingan isi dengan memberikan penekanan kepadanya, untuk mengarah pelajar ke hala yang betul dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penggunaannya yang paling bernilai adalah untuk mencerna pemikiran. Ini kerana soalan-soalan dikemukakan untuk menganalisis, mensintesis dan menilai kemahiran dan menyediakan latihan untuk pelajar berkomunikasi. Tujuan utama penggunaan teknik penyoalan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah:
i. Untuk mengesan pengetahuan berbahasa pelajar.
ii. Untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan juga kritis.
iii. Untuk mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar.


Teknik soal jawab dianggap teknik terpenting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan iklim pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.


Prinsip-Prinsip Panduan Penyoalan
Bagi memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru perlulah menyediakan soalan-soalan yang dapat mengasah pemikiran kreatif di kalangan pelajar. Berikut ini merupakan ciri-ciri teknik penyoalan yang sesuai digunakan bagi memungkinkan kejayaan teknik ini dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
i. Soalan-soalan yang hendak dikemukakan hendaklah dirancang
ii. Soalan-soalan hendaklah bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar
iii. Aras soalan hendaklah tidak terlalu senang dan tidak pula terlalu sukar
iv. Perkataan atau istilah yang hendak digunakan haruslah boleh difahami oleh pelajar
v. Beri peluang kepada pelajar untuk memikirkan jawapan
vi. Kemukakan soalan kepada seluruh kelas dan elakkan daripada mengemukakan soalan kepada murid tertentu sahaja.
vii. Kemukakan soalan terlebih dahulu sebelum menentukan nama murid.
viii. Bentuk soalan hendaklah berubah-ubah untuk menarik perhatian murid.
ix. Tentukan bahawa soalan itu dapat didengar dengan jelas oleh pelajar seluruh kelas
x. Soalan yang dibentuk harus mampu mendorong pelajar untuk berfikir
xi. Elakkan soalan yang mengandungi jawapan di dalamnya
xii. Soalan hendaklah ringkas dan jelas.


Ciri-ciri Soalan yang Sesuai Digunakan
Soalan-soalan yang diolah perlulah bersifat pelbagai. Sifat semula jadi soalan yang boleh dipelbagaikan bertujuan untuk memastikan tindak balas yang berbeza di kalangan pelajar. Satu cara yang konvenien untuk mengkategorikan soalan ialah dengan melihat frekuensi penggunaannya mengikut tahap domain kognitif. Ini bermakna soalan-soalan harus dapat dikategorikan dengan baik. Umpamanya:
i. Pengetahuan
Soalan-soalan berbentuk pengetahuan merupakan soalan yang dapat mencerna ingatan mudah. Kategori soalan jenis ini perlulah dipilih oleh guru terutamanya ketika menyampaikan tajuk, topik atau idea baru kepada pelajar.


ii. Pemahaman
Setelah didedahkan dengan sesuatu konsep dan pengetahuan, guru seharusnya menyoal soalan-soalan yang berbentuk pemahaman. Ini bermakna aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan berlangsung dalam dimensi memahami atau kegiatan memaham.


iii. Aplikasi
Seterusnya ciri-ciri soalan yang berikut ini melibatkan penggunaan informasi yang diberikan kepada pelajar. Soalan-soalan aplikasi bertujuan untuk membantu pelajar menggunakan pengetahuan menerusi informasi-informasi yang disalurkan semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran.


iv. Analisis
Ciri-ciri soalan analisis ialah soalan bentuk ini berfungsi untuk memisahkan idea. Pada peringkat yang lebih tinggi, pelajar akan dikemukakan dengan soalan-soalan menganalisis dan guru perlulah berhati-hati agar pelajar dapat mengikuti isi pembelajaran dan menggunakan semua kemahiran yang diterapkan kepada mereka.


v. Sintesis
Soalan sintesis merupakan soalan-soalan yang boleh membantu pelajar mencantum dan mewujudkan suatu idea baru menerusi maklumat awal yang didedahkan kepada mereka. Kemahiran ini juga menghendaki kemahiran yang tinggi di mana guru dapat membimbing pelajar sehingga mereka mampu mensintesis maklumat.


vi. Menilai
Pada peringkat yang paling tinggi, soalan berbentuk menilai akan diberikan kepada pelajar. Menilai bermakna pelajar harus dapat membuat dan juga mempertahankan justifikasi mereka.


Kategori-kategori Soalan lain
Terdapat juga cara lain untuk mengkategorikan soalan. Ia boleh dilakukan menurut fungsinya yang utama, umpamanya:
i. Soalan-soalan mengikut urutan (First-Order Question)
Soalan bentuk ini adalah soalan mudah yang biasa digunakan. Soalan ini dikatakan mengikut urutan kerana ia mengikut urutan pendedahan maklumat yang diberikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.


ii. Soalan-soalan mencungkil
Soalan-soalan mencungkil merupakan jenis soalan yang dapat mencungkil pengetahuan pelajar secara beransur-ansur. Teknik ini juga menghendaki guru untuk menghasilkan soalan-soalan yang kreatif serta jelas dan mudah agar pelajar tidak berasa bosan.


iii. Soalan-soalan terbuka
Soalan-soalan terbuka merupakan bentuk soalan bebas yang berupaya menilai keupayaan dan pengetahuan pelajar. Di samping itu pelajar juga boleh menyoal guru sebaliknya bagi tujuan mendapatkan kepastian dan penjelasan lebih lanjut. Tindak balas seperti ini adalah sesuatu yang diharapkan agar guru dapat mengenal pasti kedudukan pemahaman pelajar.


iv. soalan-soalan bercapah
Soalan-soalan bercapah merupakan soalan yang mampu menjana pemikiran secara meluas. Soalan-soalan yang subjektif akan membantu pelajar meluaskan skop pemikiran dan ini sangat penting bagi mereka.


Kesan Kemahiran Penyoalan dan Pengajaran dan Pembelajaran
Terdapat banyak kesan teknik penyoalan dalam pengajaran dan pembelajaran. Di antaranya ialah seperti yang berikut:
i. Murid bertambah aktif
Menambahkan minat pelajar dan mengelakkan mereka daripada berasa jemu. Ia juga akan dapat menguji pengetahuan sedia ada pelajar.


ii. Dapat mengenalpasti masalah pelajar
Sekiranya pelajar tidak dapat menguasai sesuatu topik pelajaran, dia akan sukar atau tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan. Oleh itu, guru akan dapat mengenalpasti masalah pelajar.


iii. Mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar.
Menerusi teknik ini, hubungan guru dan murid akan lebih erat dan pelajar lebih bersedia dan berkeyakinan menghadapi sesuatu ujian.


iv. Membantu pelajar
Teknik penyoalan juga akan dapat membantu pelajar menjangkakan soalan-soalan yang mungkin atau menjangkakan tajuk-tajuk penting dalam peperiksaan. Ini membolehkan mereka untuk mengulangkaji topik-topik berkenaan.


Peranan Guru
Apabila kita bercakap tentang teknik mengajar, kita sebenarnya menumpukan perhatian kepada pencapaian guru yang mengajar, iaitu cara tertentu yang dilakukannya dengan menggunakan kemudahan bahan pengajaran serta langkah yang diamalkannya. Seorang guru menjadi tumpuan pelajar kerana dia sendiri akan bertanggungjawab bagi menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang dirancangkannya.


Dalam teknik penyoalan, pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan kemahiran ini sangat mementingkan peranan guru. Peranan guru amat penting untuk menentukan proses teknik ini dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Kemahiran guru untuk mempelbagaikan teknik soalan akan dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran terlaksana dengan baik dan berkesan.


Teknik soal jawab yang baik merupakan aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan iklim pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.


Kesimpulan
Kemahiran menyoal dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran merupakan antara suatu perkara yang penting dalam menguasai ilmu pengetahuan. Dalam bilik darjah, setiap pelajar akan mengemukan soalan kepada guru bertujuan untuk memahami setiap konsep yang disampaikan oleh guru semasa didalam kelas. Melalui teknik penyoalan ini, guru akan menerangkan isi-isi penting agar pelajar dapat memahami serta membolehkan pelajar meningkatkan pemikiran mereka ke tahap yang lebih tinggi. Melalui teknik penyoalan ini pelbagai ilmu dapat dikuasai oleh setiap pelajar sama ada di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menegah mahupun di IPT-IPT. Melalui teknik seperti ini juga dapat membantu pelajar supaya bergiat secara aktif dalam menguasai bidang ilmu dengan lebih giat lagi. Guru juga perlulah mengemukakan soalan kepada pelajar agar pelajar dapat berfikir mengenai topik yang dipelajari supaya mereka dapat memahami dengan mudah dan berkesan. Oleh itu kemahiran menyoal dalam pengajaran dan pembelajaran amat penting dapat bidang pendidikan.

No comments:

Post a Comment

Sila komen..